SISTEM PENGAJIAN DAN PEMBELAJARAN AL QURAN
MAAHAD TAHFIZ AL QURAN WAL QIRAAT, PULAI CHONDONG
PENDAHULUAN
قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: خيركم من تعلم القرءان وعلّمه
Maksudnya: Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya.
Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong, Kelantan ditubuhkan pada tahun 1992 mengikut cadangan Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan dengan pengambilan generasi pertamanya seramai 30 orang pelajar. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK). Peranannya ialah untuk melahirkan para penghafal Al Quran yang dapat merealisasikan isi kandungan Al Quran dalam masyarakat dan mahir dalam semua disiplin ilmu sama ada bidan agama mahupun profesional. MTAQ merupakan antara pusat tahfiz yang terunggul di Malaysia kerana pernah dinobatkan sebagai sekolah cemerlang negara dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2003. Begitu juga dalam peperiksaan anjuran YIK seperti Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Tahfiz Al Quran (STTQ).
Kini umur MTAQ sudahpun menjangkau lebih dari 15 tahun yang boleh dikira sebagai umur matang. Jadi tidak hairanlah jika sehingga kini MTAQ telah berjaya melahirkan lebih dari 500 orang hafiz Al Quran. Lepasannya berjaya menyambung pelajaran di IPTA dan IPTS dalam negara sama ada dalam bidang agama atau profesional. Manakala di luar negara mereka berjaya menyambung pelajaran masing-masing dalam pelbagai negara seperti Mesir, Madinah , Jordan , Indonesia , England , Perancis dan lain-lain.
PENGIKTIRAFAN SIJIL
Sijil Tinggi Tahfiz Al Quran (STTQ) MTAQ telah diiktiraf oleh pihak Universiti Al Azhar Mesir dan lepasannya berjaya menyambung pengajian mereka secara terus di Institut Qiraat Al Azhar, Mesir sebagaimana surat yang diterima oleh pihak MTAQ pada 14 April 2005. Pengiktirafan tersebut termaktub dalam surat yang dihantar oleh Universiti Al Azhar Bahagian Penyelidikan Islam, Pejabat Am Luar Negara yang bertarikh 15 Mac 2005. Surat itu menyebutkan bahawa:
Mesyuarat Lajnah Pengiktirafan Universiti Al Azhar kali ke-97 yang diadakan pada 2 Mac 2005 telah mengiktiraf Sijil Tinggi Tahfiz Al Quran (STTQ), Pulai Chondong dan lepasannya layak untuk menyambung pengajian mereka dalam Tahun Satu Takhassus di Institut Qiraat Al Azhar, Mesir dalam bidang Sarjana Muda Al Quran Dan Qiraat.
SISTEM PENGAJIAN
Sistem pengajian di MTAQ Pulai Chondong menggabungkan tiga kurikulum pendidikan iaitu Al Quran & Qiraat, arab & agama dan akademik. Pengajian Al Quran & Qiraat adalah sebagaimana sukatan yang telah dipelajari di Institut Qiraat Al Azhar, Mesir. Manakala pengajian arab & agama dan akademik ialah seperti sukatan yang telah ditetapkan oleh Yayasan Islam Kelantan dan Kementerian Pelajaran Malaysia .
Pengajian di MTAQ meliputi 2 semester bagi setiap tahun pengajian dan para pelajar diwajibkan menghabiskan 11 semester sepanjang mereka berada di sini bermula dari tahun pertama hingga keenam. Semester pertama bermula dari bulan Januari hingga Jun manakala semester kedua bermula dari bulan Julai hingga Disember. Pada semester terakhir para pelajar akan didedahkan dengan proses pengajian dan pembelajaran di Institut Qiraat Al Azhar, Mesir untuk membiasakan mereka tentang sistem pengajian di sana .
SISTEM PEPERIKSAAN
Peperiksaan di MTAQ Pulai Chondong diadakan sebanyak 2 kali setahun pada setiap akhir semester yang dikendalikan oleh Bahagian Peperiksaan MTAQ. Hanya pelajar yang lulus dibenarkan naik ke tahun seterusnya manakala pelajar yang gagal dimestikan mengulang tahun yang sama. Para pelajar juga akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Menengah Tahfiz Al Quran (SMTQ) yang dikendalikan oleh Yayasan Islam Kelantan semasa berada di Tingkatan 4. Semasa di Tingkatan 5 mereka akan menduduki pepriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia . Pada semester terakhir para pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Tahfiz Al Quran (STTQ) yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan yang dilantik khusus oleh MTAQ terdiri dari ahli-ahli akademik dari luar.
MATA PELAJARAN
Mata pelajaran yang dipelajari di MTAQ Pulai Chondong adalah merangkumi tiga bidang pengajian iaitu Al Quran & Qiraat, Arab & Agama dan Akademik. Taburan mata pelajaran bagi setiap tahun pengajian ialah seperti berikut:
Tingkatan Satu:
i- Mata Pelajaran Al Quran & Qiraat: iii- Mata Pelajaran Akademik:
1. Al Quran Al Karim 1. Bahasa Malaysia
2. Talaqqi Al Quran 2. Bahasa Inggeris
3. Tajwid 3. Sains
4. Hifzul Mutun Tajwid 4. Matematik
5. Qharib Al Quran/Tafsir 5. Sejarah
6. Adab Al Quran
ii- Mata Pelajaran Arab & Agama:
1. Nahu & Soraf 2. Bahasa Arab Komunikasi
3. Akhlak 4. Hadis
5. Feqh 6. Tauhid
7. Sirah Nabawiyyah 8. Imla’ & Khat
Tingkatan Dua:
i- Mata Pelajaran Al Quran & Qiraat: iii- Mata Pelajaran Akademik:
1. Al Quran Al Karim 1. Bahasa Malaysia
2. Talaqqi Al Quran 2. Bahasa Inggeris
3. Tajwid 3. Sains
4. Hifzul Mutun Tajwid 4. Matematik
5. Qharib Al Quran/Tafsir 5. Sejarah
6. Adab Al Quran
7. Qiraat Ilmi
8. Qiraat Amali
9. Hifzul Mutun Qiraat
ii- Mata Pelajaran Arab & Agama:
1. Nahu & Soraf 2. Bahasa Arab Komunikasi
3. Hadis 4. Feqh
5. Tauhid 6. Sirah Nabawiyyah
Tingkatan Tiga:
i- Mata Pelajaran Al Quran & Qiraat: iii- Mata Pelajaran Akademik:
1. Al Quran Al Karim 1. Bahasa Malaysia
2. Talaqqi Al Quran 2. Bahasa Inggeris
3. Qiraat Ilmi 3. Sains
4. Qiraat Amali 4. Matematik
5. Hifzul Mutun Qiraat 5. Sejarah
6. Tarannum Murattal
ii- Mata Pelajaran Arab & Agama:
1. Nahu & Soraf 2. Bahasa Arab Komunikasi
3. Hadis 4. Feqh
5. Tauhid 6. Tafsir
7. Insya’ & Mutalaah
Tingkatan Empat:
i- Mata Pelajaran Al Quran & Qiraat:
1. Al Quran Al Karim 2.
3. Qiraat Ilmi 4. Qiraat Amali
5. Hifzul Mutun Qiraat 6. Rasm Al Quran
ii- Mata Pelajaran Arab & Agama: iii- Mata Pelajaran Akademik:
1. Nahu & Soraf 1. Bahasa Malaysia
2. Bahasa Arab Komunikasi 2. Bahasa Inggeris
3. Hadis 3. Sains
4. Feqh 4. Matematik
5. Tauhid 5. Sejarah
6. Tafsir 6. Matematik Tambahan
7. Insya’ & Mutalaah 7. Perinsip Akaun
8. Ekonomi Asas
Tingkatan Lima:
i- Mata Pelajaran Al Quran & Qiraat: ii- Mata Pelajaran Arab & Agama:
1. Al Quran Al Karim 1. Bahasa Arab Tinggi
2. Fawasil 2. Bahasa Arab Komunikasi
3. Qiraat Ilmi 3. Hadis
4. Qiraat Amali 4. Feqh
5. Hifzul Mutun Qiraat 5. Tauhid
6. Rasm Al Quran 6. Tafsir
7. Insya’ & Mutalaah
iii- Mata Pelajaran Akademik:
1. Bahasa Malaysia 2. Bahasa Inggeris
3. Sains 4. Matematik
5. Sejarah 6. Matematik Tambahan
7. Perinsip Akaun 8. Sastera
9. Pengajian Al Quran & Sunnah 10. Pengajian Syariah Islamiyyah
Pra Shoubra (STTQ):
1. Al Quran Al Karim 9. Nahu & Soraf
2. Qiraat Ilmi 10. Arudh & Qafiah
3. Qiraat Amali 11. Tafsir
4. Hifzul Mutun Qiraat 12. Hadis
5. Rasm Al Quran 13. Feqh
6. Fawasil 14. Tauhid
7. Dakwah Dan Khatabah 15. Insya’ & Mutalaah
8. Bahasa Inggeris
SISTEM PEMBELAJARAN AL QURAN
Hafazan Al Quran merupakan mata pelajaran terpenting di MTAQ Pulai Chondong. Ketinggian sakhsiyah dan kecemerlangan akademik berkait rapat dengan kecemerlangan Al Quran. Pelajar yang cemerlang dalam hafazan Al Quran secara tidak langsung memiliki keperibadian mulia dan cemerlang dalam akademik. Kecemerlangan Al Quran adalah berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:
Pemilihan Guru
Kebanyakan guru yang ditaklifkan memikul tugasan sebagai tenaga pengajar Al Quran di MTAQ adalah dimestikan dari kalangan mereka yang Hafiz Al Quran terutamanya graduan lepasan Institut Qiraat Al Azhar Mesir dan Universiti Islam Madinah. Pemilihan ini bertujuan supaya MISI dan VISI yang telah digariskan dapat dicapai iaitu untuk melahirkan hafiz yang mahir dalam pembacaan Al Quran kerana hanya mereka yang pernah melalui proses talaqqi akan mampu merealisasikan tugasan ini.
Pemilihan Pelajar
Pelajar-pelajar yang ditawarkan untuk mengikuti program ini ialah dari kalangan mereka yang mendapat sekurang-kurangnya 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSR atau yang setaraf dengannya. Mereka diwajibkan telah khatam membaca Al Quran dan lulus dalam temuduga yang dijalankan oleh YIK. Mereka akan diuji meliputi 2 kategori iaitu ujian lisan dan bertulis. Dalam ujian lisan pelajar akan diuji mengenai pengetahuan asas fardhu ain, bacaan jawi, hukum tajwid, bacaan dan hafazan Al Quran. Para pelajar akan diuji menghafal Al Quran sebanyak 10 baris dalam masa 1 jam.
Bilangan Pelajar Bagi Setiap Guru
Bagi memastikan penumpuan yang lebih dari guru dan keberkesanan pembelajaran Al Quran maka MTAQ telah menetapkan hanya 15 orang pelajar atau kurang bagi seorang guru Al Quran. Bilangan ini adalah paling sesuai dan ia telah dipraktikkan di kebanyakan pusat tahfiz sama ada kerajaan mahupun swasta seperti di Darul Quran JAKIM.
TEMPAT TASMI’
Pengajian Al Quran adalah satu proses pengajaran yang memerlukan penumpuan yang khusus dari seseorang guru. Justeru, bagi memastikan sukatan yang ditetapkan dapat dicapai dengan baik dan para pelajar mengingati Al Quran yang dihafal maka MTAQ telah menyediakan tempat khusus bagi setiap guru. Ia bertujuan untuk memudahkan guru menegur dan memantapkan hafazan setiap pelajar di bawah seliaannya kerana setiap guru memiliki kepakaran yang berbeza dalam mendidik pelajar.
Sukatan Hafazan Al Quran
Sukatan hafazan Al Quran di MTAQ ialah sebanyak 1 muka surat sehari. Ia bertujuan supaya para pelajar dapat menghafal Al Quran dengan cemerlang dan tidak ketinggalan dalam mata pelajaran lain demi melahirkan profesional yang hafiz Al Quran. Dengan hanya 1 muka surat sehari para pelajar mampu menamatkan hafazan masing-masing dalam masa 4 tahun. Perincian sukatan hafazan bagi setiap tahun pengajian adalah seperti berikut:
1. Tingkatan Satu : 6 Juzu’ iaitu Juzu’ yang ke-30 dan empat surah pilihan (Surah Al Sajdah, Yaasin, Al Dukhan dan Al Mulk) serta dari awal Juzu’ 1 hingga akhir Juzu’ 5.
2. Tingkatan Dua : 8 Juzu’ iaitu dari awal Juzu’ 6 hingga akhir Juzu’ 13.
3. Tingkatan Tiga : 8 Juzu’ iaitu dari awal Juzu’ 14 hingga akhir Juzu’ 21.
4. Tingkatan Empat : 8 Juzu’ iaitu dari awal Juzu’ 22 hingga akhir Juzu’ 29. Mereka dikira khatam setelah tamat Juzu’ ke-29.
5. Tingkatan Lima : Pelajar diwajibkan mengulang sebanyak 3 Juzu’ sehari.
6. Pra Shoubra : Pelajar diwajibkan mengulang sebanyak 3 Juzu’ sehari.
Masa
Masa yang diperuntukan bagi mata pelajaran Al Quran ialah 4 jam sehari. Perinciannya ialah seperti berikut:
1. 8.00 malam hingga 10.00 malam ialah masa untuk menulis Buku Tulisan Ayat dan menghafal hafazan muka surat baru yang dinamakan sebagai sabaq.
2. 7.30 pagi hingga 9.00 pagi ialah masa untuk tasmi’ hafazan baru dan mengulang hafazan terkini sekurang-kurangnya ½ Juzu’ yang dinamakan sebagai sabqi.
3. 11 pagi hingga 12 tengahari ialah masa untuk mengulang hafazan lama sekurang-kurangnya 2 Juzu’ yang dinamakan sebagai manzil.
TALAQQI
Al Quran ialah Kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril. Baginda bertalaqqi dan bermusyafahah dengan Jibril sekali bagi setiap tahun pada Bulan Ramadhan dan pada tahun kewafatannya, Baginda bertalaqqi sebanyak 2 kali. Ini membuktikan kepada kita bahawa Al Quran tidak boleh dibaca kecuali setelah bertalaqqi dengan guru yang betul-betul mahir dan berkepakaran dalam pembacaan Al Quran. Jadi, MTAQ mewajibkan para pelajar bertalaqqi kesemua Al Quran dengan guru yang telah ditetapkan. Sukatan talaqqi Al Quran ialah 10 Juzu’ bagi setiap tahun bermula dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.
BUKU TULISAN AYAT
MENGHAFAL
para pelajar diwajibkan menghafal sekurang-kurangnya 1 muka surat sehari. Sebelum menghafal mereka mestilah melancarkan bacaan secara bertajwid terlebih dahulu. Bacaan yang tidak lancar dan tidak bertajwid akan melambatkan proses menghafal kerana Al Quran adalah Kalam Allah yang mulia. Masa yang diperuntukkan untuk para pelajar menghafal hafazan muka surat baru ialah antara jam 7.45 sehingga jam 9.15 malam.
Tasmi’ (SABAQ)
Para pelajar akan memperdengarkan (tasmi’) hafazan muka surat baru yang telah dihafal di hadapan guru tasmi’ Al Quran masing-masing. Guru akan memastikan para pelajar telah pun membaca dengan pelajar lain terlebih dahulu sebelum mereka tasmi’ dengan guru. Setiap pelajar mestilah tasmi’ dalam keadaan bertajwid dan mengikut Tariq Al Syatibiyyah sebagaimana yang digunapakai di seluruh Malaysia . Pelajar hanya akan dikira lulus tasmi’ apabila kesalahan mereka tidak lebih dari 3 kali supaya hafazan mereka akan benar-benar mantap.
Mengulang Hafazan TERKINI (SABQI)
Tasmi’ yang lancar tanpa ada kesalahan adalah faktor terpenting dalam menentukan seseorang pelajar itu mengingati Al Quran dan ia juga akan memudahkan proses mengulang Al Quran. Setelah tasmi’ hafazan muka surat baru setiap pelajar diwajibkan mengulang semula muka surat yang baru ditasmi’ sebentar tadi sekurang-kurangnya 5 kali. Apabila selesai megulang muka surat tersebut maka pelajar diwajibkan mengulang sekurang-kurang ½ Juzu’ hafazan terkini. Kesemua ini mesti diselesaikan antara jam 7.30 pagi hingga jam 9.00 pagi. Jika ada kesempatan waktu pelajar digalakkan mengulang hafazan terkini di hadapan guru atau dengan pasangan yang ditetapkan.
Mengulang Hafazan Lama (MANZIL)
Manzil ialah perkataan yang berasal dari kalimah arab yang bermaksud rumah dan ia boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang tetap dan tidak mudah roboh. Justeru, bagi para pelajar yang rajin mengulang Al Quran hafazan mereka akan mantap dan tidak akan lupa selama-lamanya dengan izin Allah. Mengulang hafazan lama mestilah sekurang-kurangnya 3 Juzu’ sehari jika seseorang itu belum khatam tetapi setelah khatam mereka diwajibkan mengulang sekurangnya 5 Juzu’ sehari. Guru akan memanggil pelajar untuk mengulang hafazan lama masing-masing antara jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari dan pelajar diwajibkan membaca sekurang-kurangnya ½ Juzu’ di hadapan guru. Di samping itu guru juga akan mewujudkan pasangan bagi setiap pelajar supaya mereka dapat saling mengulang sesama mereka.
Pindah Juzu’
Setelah tamat menghafal setiap Juzu’ Al Quran para pelajar diberi masa sekurang-kurangnya 3 hari supaya mereka dapat betul-betul mengulang hafazan bagi Juzu’ tersebut. Apabila betul-betul ingat maka pelajar tersebut akan diuji sebanyak lima soalan oleh guru tasmi’. Jika mereka dapat membaca dengan baik maka guru akan mengarahkan pelajar diuji dengan guru lain yang telah ditetapkan. Bagi pelajar yang gagal mereka akan diberi peluang untuk kali kedua dan seterusnya sehingga berjaya barulah mereka dibenarkan berpindah menghafal Juzu’ yang berikut.
Sijil Khatam
Sijil Khatam Hafazan Al Quran ialah satu pengiktirafan dari pihak MTAQ kepada mana-mana pelajar yang telah tamat hafazan. Ia sebagai satu bukti bahawa seseorang pelajar itu telah menamatkan hafazan mereka dan dijadikan sijil sokongan terpenting apabila mereka ingin menyambung pelajaran dan berkerjaya. Para pelajar akan hanya diberi Sijil Khatam setelah mereka diuji beberapa soalan oleh pihak pentadbiran MTAQ atau lajnah yang dilantik dan dapat menjawabnya dengan baik serta bertajwid.
Pelajar Yang Menghadapi Masalah Hafazan
Sesungguhnya bukan semua pelajar dapat menghabiskan sukatan yang telah ditetapkan oleh MTAQ. Justeru, untuk mengatasi permasalahan ini pihak MTAQ akan sentiasa memantau hafazan pelajar dan membuat laporan prestasi hafazan setiap akhir bulan seterusnya menghantar kepada setiap ibu bapa atau penjaga sebagai makluman dan tindakan. MTAQ akan mengenali masalah yang melambatkan hafazan bagi setiap pelajar bermula dari bulan pertama pengajian mereka. Setelah melalui proses percubaan selama 6 bulan maka pelajar-pelajar yang bermasalah dalam hafazan akan diselia oleh guru khusus yang berkepakaran dan berpengalaman.
Program Intensif
Setelah meletakkan para pelajar yang bermasalah dalam hafazan di bawah seliaan guru yang berkepakaran dan jika masih ada dari kalangan mereka individu yang ketinggalan dalam hafazan maka pihak MTAQ melalui Badan Al Quran & Qiraat akan membuat kelas intensif hafazan Al Quran pada setiap cuti persekolahan sama ada cuti pertengahan atau akhir semester. Di samping itu mereka juga diwajibkan tasmi’ dengan guru luar yang menepati kriteria yang telah digariskan oleh MTAQ semasa mereka pulang bercuti. Bagi pelajar Tingkatan Satu dan Dua pada setiap awal tahun MTAQ mengadakan Mukhayyam Al Quran selama beberapa hari demi membiasakan mereka dengan suasana penghafalan Al Quran.
SOLAT TERAWIH
Membaca ayat-ayat yang telah dihafal sebanyak mungkin dalam solat terutamanya ketika berqiamullail adalah antara faktor terpenting seseorang itu mampu mengingati dengan baik hafazan mereka. Pada setiap tahun MTAQ dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan JAHEIK telah menghantar para pelajar yang terpilih seramai 40 orang atau 20 pasang pada setiap malam kesetiap jajahan untuk mengimami Solat Terawih. Para pelajar juga akan dihantar ke masjid-masjid atau surau-surau sekitar dan luar Kelantan mengikut permintaan bagi mengimami Solat Terawih selama sebulan. Ia adalah antara program yang diatur untuk memantapkan hafazan para pelajar di samping menjadi duta MTAQ keseluruh negara. Bahkan ada di kalangan mereka yang ditawarkan untuk menjadi Imam Terawih di Australia dan United Kingdom .
MUSABAQAH HAFAZAN AL QURAN
Menyertai Musabaqah Hafazan Al Quran merupakan antara proses untuk menguji sejauh mana ingatan hafazan setiap pelajar. Para pelajar digalakkan seramai mungkin untuk menyertai musbaqah yang diadakan oleh JAHEIK pada setiap tahun. Ia diadakan pada bulan Febuari dan merangkumi 3 tahap iaitu tahap 1 hingga 5 Juzu’, tahap 1 hingga 15 Juzu’ dan tahap 1 hingga 30 Juzu’ serta tafsir. Pada tahun lepas (2008) MTAQ telah menghantar seramai 42 orang pelajar untuk menyertai musabaqah meliputi kesemua tahap. Alhamdulillah 3 orang dari kalangan mereka telah berjaya iaitu Johan tahap 1 hingga 15 Juzu’ dan Johan serta Naib Johan tahap 1 hingga 30 Juzu’ peringkat Negeri Kelantan. Kedua-dua orang pelajar yang mendapat johan telah mewakili Negeri Kelantan ke peringkat Kebangsaan dan seorang daripada mereka telah mendapat Tempat Ketiga tahap 1 hingga 15 Juzu’. Pelajar MTAQ juga pernah mewakili Negara Malaysia ke beberapa Musabaqah Hafazan Al Quran Peringkat Antarabangsa seperti ke Mesir, Arab Saudi dan Indonesia sehingga MTAQ dikenali di seluruh Malaysia . Pada tahun 2008 juga pelajar MTAQ telah menjadi Johan Tahap 1 hingga 15 Juzu’ dan Tempat Ketiga Tahap 1 hingga 20 Juzu’ dalam Musabaqah Hafazan Al Quran Peringkat Antarabangsa yang diadakan di Indonesia.
Penutup
Sesungguhnya gabungan kurikulum bersepadu yang dipelajari di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai Chondong dapat melahirkan para pelajar yang profesional dan hafiz Al Quran sehingga mereka mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Mereka boleh menyambung pengajian dalam pelbagai bidang di IPTA atau IPTS dalam negeri dan juga diterima secara terus untuk belajar di Institut Qiraat Al Azhar, Mesir. Ini membuktikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikkan di MTAQ dalam semua bidang sama ada Al Quran & Qiraat, Arab & Agama dan Akademik sehingga ia dikenali bukan hanya di kalangan rakyat Negeri Kelantan bahkan tersohor keseluruh Negara.
Disediakan oleh,
Haji Shaharudin Yaacob,
Guru Kanan Al Quran & Qiraat 2009,
Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat,
Pulai Chondong, Kelantan.